Friday, November 27, 2015

HAIKU MELAYU : SEIRAS TIDAK SERUPA

HAIKU MELAYU : SEIRAS TIDAK SERUPA

[DEWAN SASTERA SEPT 2013]
(Terima Kasih Editor Dewan Sastera)

HAIKU MELAYU : SEIRAS TIDAK SERUPA
OLEH
DARMA MOHAMMAD

Seiras Tidak Serupa
Hampir seiras bila ditenung dari beberapa sisi. Dalam genre yang sama, nama terbukti berlainan. Itulah kelainan antara haiku dan puisi tiga baris. Hal ini akan ditinjau secara lebih dekat, kendati pun tidak terlalu terperinci. Ada manfaatnya haiku yang ditulis di dalam bahasa Melayu dibawa ke podium sastera dan diberi ruang untuk diperkatakan secara ringkas.
Bahasa Melayu tetap menjadi wahana untuk pengucapan berbentuk haiku, seperti juga bahasa ini bersedia menerima soneta, misalnya. Beberapa ciri utama dalam haiku, nantinya bakal ketara setelah memerhati bentuk wajah dan warna nafasnya. Pastinya haiku mampu ramah untuk semua pembaca Malaysia dan pengguna bahasa Melayu. Tanpa syak wasangka, nanti kehadirannya turut bermanfaat kepada dunia persuratan Melayu.
Sekilas Wajah Haiku Klasik Jepun dan Tokoh Unggul
Haiku (hokku asal dikenali) merupakan puisi klasik Jepun yang terikat dengan skema suku kata dan unsur alam atau peristiwa. Puisi ini sangat mementingkan (baca : memestikan) hitungan suku kata (yakni 17 suku kata sebuah haiku) dan mesti mempunyai kigo (atau kata musim). Sama ada haiku itu disusun dalam bentuk tiga baris atau ditulis sebaris dengan dua jeda, suku katanya tetap dikira 17. Manakala kigo (kata musim) harus hadir dalam salah satu baris haiku itu.
Skema suku kata 5-7-5 dan penggunaan kigo itulah yang diamalkan oleh pakar (penulis) haiku Jepun sejak dari abad ke-17 lagi hingga ke hari ini. Ini sudah menjadi ketetapan dalam menulis puisi klasik itu. Penulis-penulis haiku klasik terkenal dan disegani di Jepun antara lain ialah Matsuo Basho (1644M-1694M), Yosa Buson (1716M-1783M), Kobayashi Issa (1763M-1827M dan juga Masaoka Shiki (1867M-1902M).

Apabila berbicara tentang haiku klasik Jepun, tentunya tidak lengkap jika tidak menyebut nama Matsuo Basho. Inilah tokoh unggul penulis haiku yang utuh hingga ke zaman kini di Jepun. Haiku beliau menjadi klasik dan tetap melekat di hati masyarakatnya.
Basho lahir di Ueno dalam daerah Iga, pada tahun 1644. Masa remajanya beliau dikenali sebagai Munefusa. Bapanya Matsuo Yazaemon, seorang tentera samurai berpangkat rendah dan sekali gus pengajar kaligrafi. Darah seni mengalir ke dalam tubuh Basho.
Beliau bergaul dengan anak orang bangsawan yang berminat dengan sastera.   Sebelum ini sastera di Jepun telah dipengaruhi oleh karya para penyair dari China yang banyak menggunakan ajaran Konfucius dan unsur falsafah Buddha. Walaupun sejumlah karya-karya Basho terdapat unsur-unsur Zen dan falsafah dari China, namun Basho tidak pernah menjadi rahib. Penulisan haiku dalam bahasa Melayu oleh penulis Islam sama sekali tidak perlu merujuk kepada kepercayaan para pemuisi di Jepun.      
Kegiatan penulisan puisi berakar lama dalam masyarakat Jepun. Ini dimanfaatkan oleh Basho dengan menggali karya-karya Saigyo yang hidup 500 tahun sebelumnya. Tatkala berumur 20 tahun, haiku beliau sudah dimuatkan di dalam sebuah antologi bersama.
Minat Basho ialah mengembara. Beliau berpindah ke Kyoto setelah menjual harta bendanya untuk melibatkan diri dalam bidang penulisan. Beliau dibantu oleh gurunya Kigin. Di sana beliau mendalami ilmu falsafah, puisi klasik China dan kaligrafi. Lima tahun selepas itu, Basho berpindah pula ke Edo yang kemudiannya dikenali sebagai Tokyo.
Beliau kagum terhadap penyair klasik China Li Po dan Tu Fu yang terkenal sebagai ‘penyair kembara’, lalu ingin melakukan perkara yang sama. Kembara yang pertama ialah ke Ise, melewati kampung asalnya Ueno pada tahun 1684.
Kembara beliau yang paling penting dan jauh dilakukan pada tahun 1689 tatkala berumur 45 tahun. Perjalanan ke utara ini menuju ke Michinoku, dikenal juga sebagai Oku. Kembara yang ditemani oleh muridnya Sora dilakukan dengan berjalan kaki dan menempuh pelbagai kesusahan. Kembara ini menghasilkan buku prosa dan puisi (haiku) yang cukup terkenal iaitu ‘Oku-no-Hosomichi’  (Jalan Sempit ke Pedalaman).     
           
Sukma Basho dalam haiku
Kekuatan haiku Basho terletak pada ketajaman pemerhatian terhadap alam. Perubahan iklim empat musim dan cuaca serta gerak dan diam makhluk yang hidup lalu ditangkap oleh panca indera. Dengan hanya menggunakan 17 suku kata,  beliau dapat menghantar makna yang berkesan.
Perhatikan satu  rangkap haiku Basho yang ditulis dalam musim bunga :
 [45]
何の木の 花とは知らず 匂ひ哉                                                                                                                     (Nan no ki no / hana to wa shirazu / niou kana )                                                                                                                    
     Bunganya harum
   khabarkan kepadaku
   nama pohonnya

Berikut pula satu  rangkap  haiku Basho yang ditulis dalam musim panas :
[190]
明日は 粽難波の枯葉 夢なれや
(
Asu wa chimaki / Naniwa no kareha / yume nare ya)
     Esoknya kering
   daun pulut Naniwa
  menjadi mimpi

Berikut pula satu  rangkap  haiku Basho yang ditulis dalam musim luruh :  
[311]
   蛤の ふたみに別れ 行く秋ぞ
(Hamaguri no / futami ni wakare / yuku aki zo)
Pamitan luruh
  kepah terbelah dua
  tanda berpisah

Berikut ini satu rangkap agi haiku Basho yang ditulis dalam musim sejuk : 
[386]
月雪と のさばりけらし 年の暮                                                                                                                           (Tsuki yuki to / nosabari kerashi / toshi no kure)                                                                                                                
Bulan dan salju
  saling tidak mengendah
  di hujung tahun

                        Lazimnya haiku Basho bertolak daripada unsur alam. Seluruh deria rasanya bekerja untuk menangkap maksud di sebalik warna dan gerak alam itu. Tidak akan dilepaskan begitu sahaja apa yang memukau penglihatan, pendengaran dan perasaan. Unsur alam itulah yang mencirikan sesebuah haiku Basho, yang dikenali sebagai kata musim (kigo) itu.
Terjemahan haiku Basho di atas, dikutip dari buku ‘Sukma Basho dalam Haiku’ yang diusahakan oleh Leyla Shuri dan Darma Mohammad, terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2012. Haiku Basho yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu itu tetap mengekalkan skema 5-7-5 dan kigonya tidak diubah.
Basho meninggal pada tahun 1694 di Osaka, tatkala berumur 50 tahun. Mayatnya dikebumikan tidak jauh dari Tasik Biwa.
Kewajaran Haiku dalam bahasa Melayu
Sewajarnya haiku boleh ditulis dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu mempunyai ciri-ciri yang serasi dengan haiku Jepun jika mahu ditekankan daripada aspek suku kata. Suku kata mampu dihitung dengan tepat melalui bunyi sesuatu kata. Bila prinsip ini dipegang, maka struktur sesebuah haiku dalam bahasa Melayu itu mampu dibina mengikut acuan asal haiku Jepun.
Pastinya persoalan (baca : isi) sesebuah haiku dalam bahasa Melayu boleh merangkumi segala unsur yang berasal daripada lingkungan budaya dan jiwa Melayu itu; walaupun ia boleh dikembangkan kepada unsur-unsur tambahan lain yang menyerap masuk ke dalam budaya Melayu. Jika bangsa Melayu itu tidak dapat dipisahkan dengan pegangan agama Islam, makanya haiku Melayu itu terbuka untuk mengungkapkan segala unsur dan nilai Islam itu.
Persoalan keindahan alam Melayu dengan pelbagai pengucapan berkait rapat dengan penghargaan terhadap flora dan fauna, keindahan budi dan susila, kecekalan semangat dan persaudaraan, ketinggian harapan dan kasih sayang; semuanya mampu disenyawakan melalui ungkapan Melayu yang kaya itu. Berdasarkan keadaan yang sedia ada di dalam diri bangsa dan bahasa Melayu itu, sudah tentu haiku mampu ditulis di dalam bahasa Melayu.
Tanpa dipengaruhi oleh apa-apa pegangan dan kepercayaan hidup para penulis Jepun, haiku mampu dicipta dalam bahasa Melayu. Ini bermakna, penulis haiku di Malaysia dapat membuka dunia sastera sendiri  yang membawa tema kehidupan masyarakat Melayu. Memang terdapat persamaan pemerhatian terhadap hakikat kehidupan alam semesta. Selainnya suara penulis tempatan (baca : Malaysia) pasti juga mendasari makna tersirat sesebuah ciptaan itu.
Ruang untuk haiku tampil di dalam bahasa Melayu amat luas dan menjanjikan untuk para penulis yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi. Pengucapan puisi ini selalu berkait rapat dengan teknik, dan meminjam teknik tidak semestinya terlarang untuk khalayak penulis.
Kepadatan kata dalam haiku (yang seharusnya mengikut 17 suku kata) digabung dengan unsur alam atau peristiwa sudah cukup memikat hati pembaca dan mampu menghantar mesej yang penuh siratan makna. Haiku berbeza dengan puisi bebas yang relatif panjang. Haiku kendatipun pendek lazimnya membawa makna yang mendalam.   
Unsur Alam dan Peristiwa
Alam hadir dan dirasakan kehadirannya dalam penciptaan haiku. Musim yang berputar berdasarkan ketentuan Maha Pencipta dikaji oleh peminat haiku untuk menangkap setiap kehadiran fenomena alam itu dan memberi tafsirannya yang berseni. Dengan menggunakan kata-kata ringkas dan tepat, sesuatu yang tertangkap oleh deria rasa manusia itu, mampu diabadikan dalam ungkapan yang penuh tersirat. Maksud bercambah daripada titik ini dan impaknya mula terasa.
Alam menjadi unsur penting di dalam haiku, di samping peristiwa-peristiwa khas. Sensitif terhadap gerak, bunyi, rasa, warna, bau, bentuk, cuaca dan jelmaan pelbagai unsur alam itu tetap menghantar isyarat tertentu kepada pemerhati yang peka (baca : penulis). Seperti juga dalam ciptaan jenis-jenis seni lain, penulis haiku tetap memberi fokus terhadap unsur-unsur demikian. Daripada itu hadirlah di dalam haiku itu kigo atau kata musim.
Di negara yang mempunyai empat musim iaitu musim bunga, musim panas, musim luruh dan musim sejuk, termasuk juga tempat-tempat lain yang mempunyai musim-musim tertentu tidak kurang juga mampu menghasilkan haiku yang bermutu.
Maka terdapat dalam haiku Jepun (antara lain) ungkapan-ungkapan sakura, salju, kupu-kupu, padi, katak, cengkerik, taufan, pic, dan plum. Ini semua apa yang dikatakan kigo.  
Malaysia tidak mengalami iklim empat musim, namun begitu banyak unsur alam dan peristiwa yang boleh disenaraikan sebagai kigo atau kata musim. Malaysia mempunyai musim buah-buahan contohnya rambutan, durian dan untuk musim bunga terdapat berbagai-bagai jenis bunga. Peristiwa bermusim dan perayaan tahunan yang disambut oleh rakyat Malaysia, boleh dianggap sebagai kigo. Misalnya kita merai Hari Ibu, Hari Guru, Hari Kemerdekaan, Hari Pekerja dan Hari Tahun Baru.
Apabila merujuk kepada takwim Islam, apa yang digolongkan sebagai kata musim itu mudah ditemui. Ini melebarkan ruang untuk menemui kata musim yang dimaksudkan itu. Masyarakat Islam di sini merai Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Hari Nuzul al-Quran, Lailatulqadar, puasa  Ramadan. Berbagai-bagai peristiwa yang berkaitan dengan Islam dapat dijadikan kata musim untuk menghasilkan haiku yang memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan. Sebagai contoh tambahan, kata-kata berikut termasuk dalam  kata musim :  Bulan Haji, Zulhijah, Muharam, Maulid Rasul, Wuquf, Lailatulqadar dan pelbagai lagi. 

Penulisan haiku di Malaysia
Percubaan awal untuk menulis puisi tiga baris (sebagai bentuk haiku) telah dimulakan oleh Mohd Affandi Hassan pada tahun 1994. Beliau telah menerbitkan ‘Cendera Kirana’, sebuah antologi puisi yang disebut oleh Mohd Affandi Hassan sebagai ‘sajak-sajak tiga baris’ atau ‘Haiku in Malay’. Buku ini mengandungi 54 buah sajak tiga baris (haiku) dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Mohd Affandi Hassan sendiri tidak menolak penghasilan haiku dalam bahasa Melayu yang cuba mengekalkan ciri-ciri asal haiku klasik Jepun yang tetap menggunakan skema 5-7-5 dan mengandungi kata musim (kigo). Bagaimana pun, beliau sendiri mempunyai alasan tertentu untuk kekal menulis puisi tiga baris seperti yang dihasilkan melalui buku ‘Cendera Kirana’.
Penyair dari Brunei Darussalam, Mas Malinja telah menulis sebuah antologi berjudul ‘Sepanjang Jalan’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei pada tahun 2003. Antologi ini berupa antologi puisi (sajak moden) dan haiku. Ini satu permulaan yang baik selepas buku yang diusahakan oleh Mohd Affandi Hassan dengan ‘Cendera Kirana’.
Setelah meneliti haiku-haiku di dalam antologi ini, Mas Malinja menggunakan teknik penulisan haiku yang agak longgar. Mungkin beliau berpegang pada prinsip penulisan haiku yang tidak perlu ketat persis teknik haiku klasik Jepun dengan sukatan suku kata dan adanya ‘kigo’ (kata musim) dalam serangkap haiku. Sebahagian haiku yang terdapat di dalam antologi ini ditulis dengan menggunakan lebih daripada 17 suku kata dan tanpa ‘kigo’.
Pada tahun 2012, sebuah antologi berjudul ‘515 Haiku Melayu’ oleh Anbakri dan Anasuraya yang cuba mengekalkan skema suku katanya. Isinya menyentuh tentang masyarakat Melayu seperti juga karya Mas Malinja dari Brunei.
Perihal teknik penulisan haiku moden, khususnya kepada penulis bukan Jepun, memang diakui wujudnya perbezaan pandangan. Perbezaan pandangan dalam hal ini seakan tidak dapat dielak, memandangkan proses kreatif itu sendiri terdedah kepada pemahaman yang berbeza. Hal ini juga berlaku di barat, khasnya yang cuba menulis haiku di dalam bahasa Inggeris. Ada golongan yang cuba menterjemah atau / dan menulis haiku secara bebas. Sama-sama kita meraikan perbezaan pandangan.

Antologi haiku yang mengekal ciri-ciri asal haiku Jepun yang ketat telah diterbitkan pada tahun 2007. Buku yang berjudul ‘Antologi Haiku 2006’ ini merupakan antologi karya tiga orang penulis Lelahiro (nama pena yang lain bagi Leyla Shuri), Tabir Alam dan Dipinggiran. Kehadiran 150 haiku di dalam buku ini cukup jelas membuktikan bahawa haiku mampu ditulis di dalam bahasa Melayu dengan mematuhi syarat-syarat yang sedia ada.
Buku ini terbit hasil daripada telaah dan latihan puisi secara intensif yang dikelolakan oleh Leyla Shuri. Beliau ingin melihat haiku yang ditulis di dalam bahasa Melayu dengan membawa segala persoalan masyarakat Melayu dari segi isinya, tetapi mampu mengekalkan teknik asal haiku klasik Jepun. Inilah buku haiku yang boleh dikatakan ulung dalam aspek tersebut. 
Haiku yang tekniknya terikat dengan skema 5-7-5 dan mempunyai kigo, terus ditulis dan dikumpulkan oleh peminat haiku yang dikelola oleh Puan Leyla Shuri. Pada tahun 2012, telah terbit antologi haiku bersama tanka oleh Leyla Shuri dan Darma Mohammad dengan judul, ‘Percikan Pelangi’. Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Dewan Puisi, Kota Bharu, Kelantan.
Antologi ini merupakan sebuah himpunan haiku bersama tanka yang ditulis mengikut acuan (teknik) asal puisi klasik Jepun itu. Buku ini mengandungi 230 haiku dan 110 tanka semuanya. Menggabungkan haiku dan tanka ke dalam sebuah antologi merupakan sesuatu yang baharu di Malaysia. Dalam satu perbincangan dengan Mohd Affandi Hassan tentang topik ini, beliau menerima baik antologi ‘Percikan Pelangi’ sebuah antologi haiku dan tanka yang mengekalkan teknik asal puisi klasik Jepun itu.

Penggerak Dari Luar Negara
Tatkala memperkatakan penulisan haiku di dalam bahasa Melayu, nama Leyla Shuri (atau nama sebenarnya, Halela bt Abdul Razak) tidak dapat diabaikan begitu sahaja. Walau pun beliau bermastautin di bandar Shuri (menjadi nama pena), Okinawa, Jepun, penglibatan beliau secara serius dalam penulisan dan penyebaran haiku dalam bahasa Melayu amat dihargai. Haiku eceran beliau yang telah diterbitkan dalam buku-buku haiku dan pengalaman beliau menulis haiku dalam bahasa Jepun, Inggeris dan Melayu  dalam perkumpulan haiku di Okinawa, sudah cukup meletakkan beliau sebagai penulis haiku yang disegani. Malah haiku beliau yang ditulis dalam bahasa Jepun telah dimuatkan dalam beberapa buah antologi di Jepun.
            Beliau meniupkan semangat menulis haiku yang setia dengan acuan puisi klasik Jepun itu. Beliau sendiri tetap berpegang pada peraturan yang ketat tatkala menulis puisi baik dalam bahasa Jepun, Inggeris dan Melayu. Baginya genre haiku itu hendaklah merujuk kepada haiku yang asli bila dilihat dari segi tekniknya sebagaimana genre sonata ditulis dalam acuan sonata juga. Sedangkan dalam aspek isi (persoalan) ia tergantung kepada penulis itu sendiri.
Prinsip penulisan haiku dalam bahasa Melayu yang diamalkan oleh beliau sungguh mantap. Bagi beliau, jika puisi itu mahu dinamakan haiku, maka prinsip utama yang ada pada haiku klasik Jepun harus dikekalkan, walaupun ditulis dalam bahasa Melayu. Dengan demikian teknik ‘haiku’ itu dihormati (seperti yang kekal dipatuhi oleh penulis Jepun sendiri), sedang garapan isinya (persoalannya) tergantung kepada penulis itu sendiri. 
            Untuk beberapa detik elok ditinjau beberapa haiku dalam bahasa Melayu yang pernah ditulis oleh Leyla Shuri. Beliau memanfaatkan unsur-unsur alam yang mewah sekitar kehidupan harian. Apa yang patut diperhatikan betapa haiku tetap boleh digubah mengikut teknik atau peraturan puisi klasik Jepun itu. Bahasa Melayu tetap mampu memenuhi keperluan teknik asal penulisan haiku.
Perhatikan haiku karya Leyla Shuri ini yang dikutip dari antologi ‘Percikan Pelangi’ terbitan Dewan Pustaka Puisi, 2012  :
[16]
            Berpilin-pilin
            mengejar ufuk langit
            bunga nejiri.
            Perlu dinyatakan, sebelum penulis menggarap haiku [16], bunga nejiri harus diteliti dahulu. Bunga nejiri berbentuk tangga pilin. Bunga ini mengembang mengikut dahan yang berpilin. Haiku ini menggambarkan keadaan pokok bunga nejiri melilit ke atas berjuang untuk hidup. Secara tersirat, haiku ini cuba menggambarkan betapa perlunya kegigihan dan kecekalan untuk mencapai sesuatu cita-cita atau kejayaan di dalam hidup. Ungkapan ‘berpilin-pilin’ itu bermakna cabaran atau dugaan hidup, manakala ‘ufuk langit’ itu membawa maksud tersirat kejayaan dalam hidup.
            [43]
            Jalur sakura
            menyambung tali kasih
            antara musim.
Jalur sakura ialah garis yang tidak kelihatan dalam peta iklim. Pada hari-hari terakhir penutup musim sejuk, cuaca panas akan bermula dari selatan, beransur-ansur menuju ke utara. Cuaca panas ini digelar sebagai Jalur Sakura sebab apabila jalur panas ini bermula,  putik-putik sakura mula meletus.      
Setiap tahun masyarakat Jepun menantikan tibanya hari bunga sakura mekar. Pesta-pesta sakura diraikan di merata-rata tempat sempena menyambut ketibaan musim sakura dan ini menjalin hubungan baik antara jiran, mewujudkan akraban di kalangan keluarga, sekali gus menyambung tali kasih dalam masyarakat Jepun. 
            [65]
            Nyala tsutsuji
            sumbu semangat hidup
            mangsa Tohoku.
            Kejadian gempa bumi dan tsunami di kawasan Tohoku, Jepun pada 11.3.2011 mengorbankan ratusan ribu mangsa. Kematian, kecederaan, kehilangan ahli keluarga dan harta benda tidak mampu digambarkan selengkapnya. Namun ketabahan rakyat Jepun tetap utuh. Ini digambarkan melalui haiku di atas. Bunga tsutsuji yang mekar dengan warna merah, ungu, putih, menyerlah seakan api menyala menjadi lambang penyubur semangat berjuang untuk membangun kehidupan baru.
           
[86]
            Berkembar sulung
            cergas bak gugus biwa
            anugerah-Nya.
            Dengan memerhati buah biwa atau lebih dikenal dengan nama loquat, yang lebat bergugusan di dahan, penulis mampu menyampai makna kehidupan melalui gubahan haiku ini. Buah biwa yang bertangkai-tangkai dikiaskan kepada perkembangan sebuah keluarga sebagai kesinambungan generasi masa depan dan ini sebagai  anugerah Ilahi yang besar.
            Kehadiran unsur-unsur alam yang merata dalam haiku berfungsi sebagai pelengkap untuk menjadikan haiku yang bermutu. Memerhati ciri-ciri yang wujud pada setiap unsur alam dalam penulisan haiku amat penting bagi Leyla Shuri. Penggunaan diksi yang tepat di samping memenuhi kriteria penulisan haiku yang betul, amat ditekankan oleh beliau. Bukan itu sahaja, beliau amat tegas dalam teknik penulisan haiku yang asal, dan itulah yang diamalkan semasa menulis haiku.  
Haiku di atas ditulis dengan mengekalkan skema 5-7-5 dan mengandungi kata musim (kigo). Haiku mampu ditulis dalam bahasa Melayu dengan penuh berseni dan tetap menghantar makna yang tersirat walau pun masih mengekalkan teknik asal haiku klasik Jepun. Apa yang penting ialah minat tekal, ilmu dan usaha seorang penulis itu.
Sumbangan lain Leyla Shuri dalam memperkenalkan haiku dalam bahasa Melayu ialah melalui terjemahan karya Basho. Karya (haiku) Basho dalam bahasa Melayu sebelum ini tidak pernah diterbitkan dalam bentuk buku di Malaysia. Jika ada pun hanya sebuah haiku tentang katak dan kolam yang selalu diungkapkan oleh beberapa pihak.
Peminat haiku di Malaysia juga dapat baca sebuah buku terjemahan berjudul ‘Sukma Basho Dalam Haiku’ yang diusahakan oleh Leyla Shuri dan Darma Mohammad. Buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia ini berada di pasaran dalam tahun 2012. Ia mengandungi sebanyak 400 buah haiku hasil karya Basho yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan mengekalkan teknik asal penulisan haiku. Ini memberi peluang kepada peminat haiku mengenal haiku yang ditulis oleh Tokoh haiku, Matsuo Basho.
Tidaklah keterlaluan jika dikatakan Leyla Shuri turut memberi sumbangan bererti terhadap penulisan haiku dalam bahasa Melayu di Malaysia. Beliau boleh dianggap sebagai penggerak dari luar yang menyebar dan sekaligus menulis haiku dalam bahasa Melayu.

Membuka Pintu Untuk Meneroka
Membuka pintu bukan sekadar untuk menatap langit jauh, tapi untuk mengatur langkah dan memulakan gerak. Jika mahu menulis haiku dalam bahasa Melayu, dicadangkan memahui peraturan menulisnya.  Dengan kesungguhan minat, ketajaman bakat, kekuatan bahasa, kedalaman perasaan kemanusiaan dan kekuatan iman, maka haiku dalam bahasa Melayu mampu berkembang di negara ini.
Haiku dalam bahasa Melayu yang ditulis oleh penulis Melayu di Malaysia, tentunya membicarakan perihal tata kehidupan, kepercayaan, akidah dan aspirasi bangsanya sendiri. 
Di tangan penulis yang baik, haiku boleh menyemai benih kearifan tentang keindahan alam dan makna ciptaan Ilahi serta nilai-nilai insani dan Kebesaran Allah. 

Ditulis oleh:
DARMA MOHAMMAD.
 







Monday, November 23, 2015

Tagore


Rabindranath Tagore


Latar belakang Tagore secara ringkas.

rabindranath-tagore-630-bio


Apa yang baik ambil, apa yang buruk tohok.
 
Terima kasih kepada The Free Press Journal untuk Teks dan gambar.

Wassalam.,

Friday, November 20, 2015

SURAT ALBERT CAMUS

ALBERT CAMUS MENULIS SURAT PENGHARGAAN 
KEPADA GURU BELIAU
SETELAH MENERIMA ANUGERAH NOBEL KESUSASTERAAN

[19 NOVEMBER 1957]

Dear Monsieur Germain,
I let the commotion around me these days subside a bit before speaking to you from the bottom of my heart. I have just been given far too great an honor, one I neither sought nor solicited. But when I heard the news, my first thought, after my mother, was of you. Without you, without the affectionate hand you extended to the small poor child that I was, without your teaching and example, none of all this would have happened. I don’t make too much of this sort of honor. But at least it gives me the opportunity to tell you what you have been and still are for me, and to assure you that your efforts, your work, and the generous heart you put into it still live in one of your little schoolboys who, despite the years, has never stopped being your grateful pupil. I embrace you with all my heart.
Albert Camus
[Rujukan : Cerita Lengkap di sini :
Terima kasih atas minat dan perhatian anda. [DM]