HAIKU MELAYU : SEIRAS TIDAK SERUPA
[DEWAN SASTERA SEPT 2013]
(Terima Kasih Editor Dewan Sastera)
HAIKU MELAYU : SEIRAS
TIDAK SERUPA
OLEH
DARMA MOHAMMAD
Seiras Tidak Serupa
Hampir seiras bila ditenung dari beberapa sisi. Dalam genre yang sama, nama
terbukti berlainan. Itulah kelainan antara haiku dan puisi tiga baris. Hal ini
akan ditinjau secara lebih dekat, kendati pun tidak terlalu terperinci. Ada
manfaatnya haiku yang ditulis di dalam bahasa Melayu dibawa ke podium sastera
dan diberi ruang untuk diperkatakan secara ringkas.
Bahasa Melayu tetap menjadi wahana untuk pengucapan berbentuk haiku,
seperti juga bahasa ini bersedia menerima soneta, misalnya. Beberapa ciri utama
dalam haiku, nantinya bakal ketara setelah memerhati bentuk wajah dan warna
nafasnya. Pastinya haiku mampu ramah untuk semua pembaca Malaysia dan pengguna
bahasa Melayu. Tanpa syak wasangka, nanti kehadirannya turut bermanfaat kepada
dunia persuratan Melayu.
Sekilas Wajah Haiku Klasik Jepun dan Tokoh Unggul
Haiku (hokku asal dikenali)
merupakan puisi klasik Jepun yang terikat dengan skema suku kata dan unsur alam
atau peristiwa. Puisi ini sangat mementingkan (baca : memestikan) hitungan suku
kata (yakni 17 suku kata sebuah haiku) dan mesti mempunyai kigo (atau kata musim). Sama ada haiku itu disusun dalam bentuk
tiga baris atau ditulis sebaris dengan dua jeda, suku katanya tetap dikira 17.
Manakala kigo (kata musim) harus
hadir dalam salah satu baris haiku itu.
Skema suku kata 5-7-5 dan penggunaan kigo
itulah yang diamalkan oleh pakar (penulis) haiku Jepun sejak dari abad ke-17
lagi hingga ke hari ini. Ini sudah menjadi ketetapan dalam menulis puisi klasik
itu. Penulis-penulis haiku klasik terkenal dan disegani di Jepun antara lain
ialah Matsuo Basho (1644M-1694M), Yosa Buson (1716M-1783M), Kobayashi Issa
(1763M-1827M dan juga Masaoka Shiki (1867M-1902M).
Apabila berbicara tentang haiku klasik Jepun, tentunya tidak lengkap jika
tidak menyebut nama Matsuo Basho. Inilah tokoh unggul penulis haiku yang utuh
hingga ke zaman kini di Jepun. Haiku beliau menjadi klasik dan tetap melekat di
hati masyarakatnya.
Basho lahir di Ueno dalam daerah Iga, pada tahun 1644. Masa remajanya
beliau dikenali sebagai Munefusa. Bapanya Matsuo Yazaemon, seorang tentera
samurai berpangkat rendah dan sekali gus pengajar kaligrafi. Darah seni
mengalir ke dalam tubuh Basho.
Beliau bergaul dengan anak orang bangsawan yang berminat dengan sastera. Sebelum ini sastera di Jepun telah dipengaruhi
oleh karya para penyair dari China yang banyak menggunakan ajaran Konfucius dan
unsur falsafah Buddha. Walaupun sejumlah karya-karya Basho terdapat unsur-unsur
Zen dan falsafah dari China, namun Basho tidak pernah menjadi rahib. Penulisan
haiku dalam bahasa Melayu oleh penulis Islam sama sekali tidak perlu merujuk
kepada kepercayaan para pemuisi di Jepun.
Kegiatan penulisan puisi berakar lama dalam masyarakat Jepun. Ini
dimanfaatkan oleh Basho dengan menggali karya-karya Saigyo yang hidup 500 tahun
sebelumnya. Tatkala berumur 20 tahun, haiku beliau sudah dimuatkan di dalam
sebuah antologi bersama.
Minat Basho ialah mengembara. Beliau berpindah ke Kyoto setelah menjual
harta bendanya untuk melibatkan diri dalam bidang penulisan. Beliau dibantu
oleh gurunya Kigin. Di sana beliau mendalami ilmu falsafah, puisi klasik China
dan kaligrafi. Lima tahun selepas itu, Basho berpindah pula ke Edo yang
kemudiannya dikenali sebagai Tokyo.
Beliau kagum terhadap penyair klasik China Li Po dan Tu Fu yang terkenal
sebagai ‘penyair kembara’, lalu ingin melakukan perkara yang sama. Kembara yang
pertama ialah ke Ise, melewati kampung asalnya Ueno pada tahun 1684.
Kembara beliau yang paling penting dan jauh dilakukan pada tahun 1689
tatkala berumur 45 tahun. Perjalanan ke utara ini menuju ke Michinoku, dikenal
juga sebagai Oku. Kembara yang ditemani oleh muridnya Sora dilakukan dengan
berjalan kaki dan menempuh pelbagai kesusahan. Kembara ini menghasilkan buku
prosa dan puisi (haiku) yang cukup terkenal iaitu ‘Oku-no-Hosomichi’ (Jalan
Sempit ke Pedalaman).
Sukma Basho dalam haiku
Kekuatan haiku Basho terletak pada ketajaman pemerhatian terhadap alam.
Perubahan iklim empat musim dan cuaca serta gerak dan diam makhluk yang hidup
lalu ditangkap oleh panca indera. Dengan hanya menggunakan 17 suku kata, beliau dapat menghantar makna yang berkesan.
Perhatikan satu rangkap haiku Basho
yang ditulis dalam musim bunga :
[45]
Bunganya harum
khabarkan kepadaku
nama pohonnya
Berikut
pula satu rangkap haiku Basho yang ditulis dalam musim panas :
[190]
daun pulut Naniwa
menjadi mimpi
Berikut pula satu
rangkap haiku Basho yang ditulis
dalam musim luruh :
[311]
蛤の ふたみに別れ 行く秋ぞ
Pamitan luruh
kepah terbelah dua
tanda berpisah
Berikut ini satu rangkap agi haiku Basho yang ditulis
dalam musim sejuk :
[386]
月雪と のさばりけらし 年の暮
(Tsuki yuki
to / nosabari kerashi / toshi no kure)
Bulan
dan salju
saling tidak mengendah
di hujung tahun
Lazimnya haiku Basho
bertolak daripada unsur alam. Seluruh deria rasanya bekerja untuk menangkap
maksud di sebalik warna dan gerak alam itu. Tidak akan dilepaskan begitu sahaja
apa yang memukau penglihatan, pendengaran dan perasaan. Unsur alam itulah yang
mencirikan sesebuah haiku Basho, yang dikenali sebagai kata musim (kigo) itu.
Terjemahan haiku Basho di atas, dikutip dari buku ‘Sukma Basho dalam Haiku’
yang diusahakan oleh Leyla Shuri dan Darma Mohammad, terbitan Institut
Terjemahan dan Buku Malaysia, 2012. Haiku Basho yang diterjemahkan ke dalam
bahasa Melayu itu tetap mengekalkan skema 5-7-5 dan kigonya tidak diubah.
Basho meninggal pada tahun 1694 di Osaka, tatkala berumur 50 tahun.
Mayatnya dikebumikan tidak jauh dari Tasik Biwa.
Kewajaran Haiku dalam bahasa Melayu
Sewajarnya haiku boleh ditulis dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu mempunyai
ciri-ciri yang serasi dengan haiku Jepun jika mahu ditekankan daripada aspek
suku kata. Suku kata mampu dihitung dengan tepat melalui bunyi sesuatu kata.
Bila prinsip ini dipegang, maka struktur sesebuah haiku dalam bahasa Melayu itu
mampu dibina mengikut acuan asal haiku Jepun.
Pastinya persoalan (baca : isi) sesebuah haiku dalam bahasa Melayu boleh
merangkumi segala unsur yang berasal daripada lingkungan budaya dan jiwa Melayu
itu; walaupun ia boleh dikembangkan kepada unsur-unsur tambahan lain yang
menyerap masuk ke dalam budaya Melayu. Jika bangsa Melayu itu tidak dapat
dipisahkan dengan pegangan agama Islam, makanya haiku Melayu itu terbuka untuk
mengungkapkan segala unsur dan nilai Islam itu.
Persoalan keindahan alam Melayu dengan pelbagai pengucapan berkait rapat
dengan penghargaan terhadap flora dan fauna, keindahan budi dan susila,
kecekalan semangat dan persaudaraan, ketinggian harapan dan kasih sayang;
semuanya mampu disenyawakan melalui ungkapan Melayu yang kaya itu. Berdasarkan
keadaan yang sedia ada di dalam diri bangsa dan bahasa Melayu itu, sudah tentu
haiku mampu ditulis di dalam bahasa Melayu.
Tanpa dipengaruhi oleh apa-apa pegangan dan kepercayaan hidup para penulis
Jepun, haiku mampu dicipta dalam bahasa Melayu. Ini bermakna, penulis haiku di
Malaysia dapat membuka dunia sastera sendiri
yang membawa tema kehidupan masyarakat Melayu. Memang terdapat persamaan
pemerhatian terhadap hakikat kehidupan alam semesta. Selainnya suara penulis
tempatan (baca : Malaysia) pasti juga mendasari makna tersirat sesebuah ciptaan
itu.
Ruang untuk haiku tampil di dalam bahasa Melayu amat luas dan menjanjikan
untuk para penulis yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi. Pengucapan puisi
ini selalu berkait rapat dengan teknik, dan meminjam teknik tidak semestinya
terlarang untuk khalayak penulis.
Kepadatan kata dalam haiku (yang seharusnya mengikut 17 suku kata) digabung
dengan unsur alam atau peristiwa sudah cukup memikat hati pembaca dan mampu
menghantar mesej yang penuh siratan makna. Haiku berbeza dengan puisi bebas
yang relatif panjang. Haiku kendatipun pendek lazimnya membawa makna yang
mendalam.
Unsur Alam dan Peristiwa
Alam hadir dan dirasakan kehadirannya dalam penciptaan haiku. Musim yang
berputar berdasarkan ketentuan Maha Pencipta dikaji oleh peminat haiku untuk
menangkap setiap kehadiran fenomena alam itu dan memberi tafsirannya yang
berseni. Dengan menggunakan kata-kata ringkas dan tepat, sesuatu yang
tertangkap oleh deria rasa manusia itu, mampu diabadikan dalam ungkapan yang
penuh tersirat. Maksud bercambah daripada titik ini dan impaknya mula terasa.
Alam menjadi unsur penting di dalam haiku, di samping peristiwa-peristiwa
khas. Sensitif terhadap gerak, bunyi, rasa, warna, bau, bentuk, cuaca dan
jelmaan pelbagai unsur alam itu tetap menghantar isyarat tertentu kepada
pemerhati yang peka (baca : penulis). Seperti juga dalam ciptaan jenis-jenis
seni lain, penulis haiku tetap memberi fokus terhadap unsur-unsur demikian. Daripada
itu hadirlah di dalam haiku itu kigo atau
kata musim.
Di negara yang mempunyai empat musim iaitu musim bunga, musim panas, musim
luruh dan musim sejuk, termasuk juga tempat-tempat lain yang mempunyai
musim-musim tertentu tidak kurang juga mampu menghasilkan haiku yang bermutu.
Maka terdapat dalam haiku Jepun (antara lain) ungkapan-ungkapan sakura, salju, kupu-kupu, padi, katak,
cengkerik, taufan, pic, dan plum.
Ini semua apa yang dikatakan kigo.
Malaysia tidak mengalami iklim empat musim, namun begitu banyak unsur alam
dan peristiwa yang boleh disenaraikan sebagai kigo atau kata musim. Malaysia mempunyai musim buah-buahan
contohnya rambutan, durian dan untuk musim bunga terdapat berbagai-bagai jenis
bunga. Peristiwa bermusim dan perayaan tahunan yang disambut oleh rakyat
Malaysia, boleh dianggap sebagai kigo.
Misalnya kita merai Hari Ibu, Hari Guru,
Hari Kemerdekaan, Hari Pekerja dan Hari Tahun Baru.
Apabila merujuk kepada takwim Islam, apa yang digolongkan sebagai kata
musim itu mudah ditemui. Ini melebarkan ruang untuk menemui kata musim yang
dimaksudkan itu. Masyarakat Islam di sini merai Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Hari Nuzul al-Quran,
Lailatulqadar, puasa Ramadan. Berbagai-bagai
peristiwa yang berkaitan dengan Islam dapat
dijadikan kata musim untuk menghasilkan haiku yang memenuhi ciri-ciri yang
ditetapkan. Sebagai contoh tambahan, kata-kata berikut termasuk dalam kata musim : Bulan Haji, Zulhijah, Muharam,
Maulid Rasul, Wuquf, Lailatulqadar dan pelbagai lagi.
Penulisan haiku di Malaysia
Percubaan awal untuk menulis puisi tiga baris (sebagai bentuk haiku) telah
dimulakan oleh Mohd Affandi Hassan pada tahun 1994. Beliau telah menerbitkan ‘Cendera Kirana’, sebuah antologi puisi
yang disebut oleh Mohd Affandi Hassan sebagai ‘sajak-sajak tiga baris’ atau ‘Haiku in Malay’. Buku ini mengandungi
54 buah sajak tiga baris (haiku) dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa
Inggeris.
Mohd Affandi Hassan sendiri tidak menolak penghasilan haiku dalam bahasa
Melayu yang cuba mengekalkan ciri-ciri asal haiku klasik Jepun yang tetap
menggunakan skema 5-7-5 dan mengandungi kata musim (kigo). Bagaimana pun, beliau sendiri mempunyai alasan tertentu
untuk kekal menulis puisi tiga baris seperti yang dihasilkan melalui buku ‘Cendera Kirana’.
Penyair dari Brunei Darussalam, Mas Malinja telah menulis sebuah antologi
berjudul ‘Sepanjang Jalan’ terbitan
Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei pada tahun 2003. Antologi ini berupa antologi
puisi (sajak moden) dan haiku. Ini satu permulaan yang baik selepas buku yang
diusahakan oleh Mohd Affandi Hassan dengan ‘Cendera
Kirana’.
Setelah meneliti haiku-haiku di dalam antologi ini, Mas Malinja menggunakan
teknik penulisan haiku yang agak longgar. Mungkin beliau berpegang pada prinsip
penulisan haiku yang tidak perlu ketat persis teknik haiku klasik Jepun dengan
sukatan suku kata dan adanya ‘kigo’
(kata musim) dalam serangkap haiku. Sebahagian haiku yang terdapat di dalam
antologi ini ditulis dengan menggunakan lebih daripada 17 suku kata dan tanpa
‘kigo’.
Pada tahun 2012, sebuah antologi berjudul ‘515 Haiku Melayu’ oleh Anbakri dan Anasuraya yang cuba mengekalkan
skema suku katanya. Isinya menyentuh tentang masyarakat Melayu seperti juga
karya Mas Malinja dari Brunei.
Perihal teknik penulisan haiku moden, khususnya kepada penulis bukan Jepun,
memang diakui wujudnya perbezaan pandangan. Perbezaan pandangan dalam hal ini
seakan tidak dapat dielak, memandangkan proses kreatif itu sendiri terdedah
kepada pemahaman yang berbeza. Hal ini juga berlaku di barat, khasnya yang cuba
menulis haiku di dalam bahasa Inggeris. Ada golongan yang cuba menterjemah atau
/ dan menulis haiku secara bebas. Sama-sama kita meraikan perbezaan pandangan.
Antologi haiku yang mengekal ciri-ciri asal haiku Jepun yang ketat telah
diterbitkan pada tahun 2007. Buku yang berjudul ‘Antologi Haiku 2006’ ini merupakan antologi karya tiga orang
penulis Lelahiro (nama pena yang lain bagi Leyla Shuri), Tabir Alam dan
Dipinggiran. Kehadiran 150 haiku di dalam buku ini cukup jelas membuktikan
bahawa haiku mampu ditulis di dalam bahasa Melayu dengan mematuhi syarat-syarat
yang sedia ada.
Buku ini terbit hasil daripada telaah dan latihan puisi secara intensif
yang dikelolakan oleh Leyla Shuri. Beliau ingin melihat haiku yang ditulis di
dalam bahasa Melayu dengan membawa segala persoalan masyarakat Melayu dari segi
isinya, tetapi mampu mengekalkan teknik asal haiku klasik Jepun. Inilah buku
haiku yang boleh dikatakan ulung dalam aspek tersebut.
Haiku yang tekniknya terikat dengan skema 5-7-5 dan mempunyai kigo, terus ditulis dan dikumpulkan oleh
peminat haiku yang dikelola oleh Puan Leyla Shuri. Pada tahun 2012, telah
terbit antologi haiku bersama tanka oleh Leyla Shuri dan Darma Mohammad dengan
judul, ‘Percikan Pelangi’. Buku ini
diterbitkan oleh Pustaka Dewan Puisi, Kota Bharu, Kelantan.
Antologi ini merupakan sebuah himpunan haiku bersama tanka yang ditulis
mengikut acuan (teknik) asal puisi klasik Jepun itu. Buku ini mengandungi 230
haiku dan 110 tanka semuanya. Menggabungkan haiku dan tanka ke dalam sebuah
antologi merupakan sesuatu yang baharu di Malaysia. Dalam satu perbincangan
dengan Mohd Affandi Hassan tentang topik ini, beliau menerima baik antologi ‘Percikan Pelangi’ sebuah antologi haiku
dan tanka yang mengekalkan teknik asal puisi klasik Jepun itu.
Penggerak Dari Luar Negara
Tatkala memperkatakan penulisan haiku di dalam bahasa Melayu, nama Leyla
Shuri (atau nama sebenarnya, Halela bt Abdul Razak) tidak dapat diabaikan
begitu sahaja. Walau pun beliau bermastautin di bandar Shuri (menjadi nama pena),
Okinawa, Jepun, penglibatan beliau secara serius dalam penulisan dan penyebaran
haiku dalam bahasa Melayu amat dihargai. Haiku eceran beliau yang telah
diterbitkan dalam buku-buku haiku dan pengalaman beliau menulis haiku dalam
bahasa Jepun, Inggeris dan Melayu dalam
perkumpulan haiku di Okinawa, sudah cukup meletakkan beliau sebagai penulis
haiku yang disegani. Malah haiku beliau yang ditulis dalam bahasa Jepun telah
dimuatkan dalam beberapa buah antologi di Jepun.
Beliau meniupkan semangat menulis
haiku yang setia dengan acuan puisi klasik Jepun itu. Beliau sendiri tetap
berpegang pada peraturan yang ketat tatkala menulis puisi baik dalam bahasa
Jepun, Inggeris dan Melayu. Baginya genre haiku itu hendaklah merujuk kepada
haiku yang asli bila dilihat dari segi tekniknya sebagaimana genre sonata
ditulis dalam acuan sonata juga. Sedangkan dalam aspek isi (persoalan) ia
tergantung kepada penulis itu sendiri.
Prinsip penulisan haiku dalam bahasa Melayu yang diamalkan oleh beliau
sungguh mantap. Bagi beliau, jika puisi itu mahu dinamakan haiku, maka prinsip
utama yang ada pada haiku klasik Jepun harus dikekalkan, walaupun ditulis dalam
bahasa Melayu. Dengan demikian teknik ‘haiku’ itu dihormati (seperti yang kekal
dipatuhi oleh penulis Jepun sendiri), sedang garapan isinya (persoalannya)
tergantung kepada penulis itu sendiri.
Untuk beberapa detik elok ditinjau
beberapa haiku dalam bahasa Melayu yang pernah ditulis oleh Leyla Shuri. Beliau
memanfaatkan unsur-unsur alam yang mewah sekitar kehidupan harian. Apa yang
patut diperhatikan betapa haiku tetap boleh digubah mengikut teknik atau
peraturan puisi klasik Jepun itu. Bahasa Melayu tetap mampu memenuhi keperluan
teknik asal penulisan haiku.
Perhatikan haiku karya Leyla Shuri ini yang dikutip dari antologi ‘Percikan Pelangi’ terbitan Dewan
Pustaka Puisi, 2012 :
[16]
Berpilin-pilin
mengejar ufuk langit
bunga nejiri.
Perlu dinyatakan, sebelum penulis
menggarap haiku [16], bunga nejiri
harus diteliti dahulu. Bunga nejiri
berbentuk tangga pilin. Bunga ini mengembang mengikut dahan yang berpilin.
Haiku ini menggambarkan keadaan pokok bunga nejiri
melilit ke atas berjuang untuk hidup. Secara tersirat, haiku ini cuba
menggambarkan betapa perlunya kegigihan dan kecekalan untuk mencapai sesuatu
cita-cita atau kejayaan di dalam hidup. Ungkapan ‘berpilin-pilin’ itu bermakna
cabaran atau dugaan hidup, manakala ‘ufuk langit’ itu membawa maksud tersirat
kejayaan dalam hidup.
[43]
Jalur sakura
menyambung tali kasih
antara musim.
Jalur sakura ialah garis yang tidak kelihatan dalam peta iklim. Pada
hari-hari terakhir penutup musim sejuk, cuaca panas akan bermula dari selatan,
beransur-ansur menuju ke utara. Cuaca panas ini digelar sebagai Jalur Sakura sebab apabila jalur panas
ini bermula, putik-putik sakura mula
meletus.
Setiap tahun masyarakat Jepun menantikan tibanya hari bunga sakura mekar.
Pesta-pesta sakura diraikan di merata-rata tempat sempena menyambut ketibaan
musim sakura dan ini menjalin hubungan baik antara jiran, mewujudkan akraban di
kalangan keluarga, sekali gus menyambung
tali kasih dalam masyarakat Jepun.
[65]
Nyala tsutsuji
sumbu semangat hidup
mangsa Tohoku.
Kejadian gempa bumi dan tsunami di
kawasan Tohoku, Jepun pada 11.3.2011 mengorbankan ratusan ribu mangsa.
Kematian, kecederaan, kehilangan ahli keluarga dan harta benda tidak mampu
digambarkan selengkapnya. Namun ketabahan rakyat Jepun tetap utuh. Ini
digambarkan melalui haiku di atas. Bunga tsutsuji
yang mekar dengan warna merah, ungu, putih, menyerlah seakan api menyala
menjadi lambang penyubur semangat berjuang untuk membangun kehidupan baru.
[86]
Berkembar sulung
cergas bak gugus biwa
anugerah-Nya.
Dengan memerhati buah biwa atau lebih dikenal dengan nama loquat, yang lebat bergugusan di dahan,
penulis mampu menyampai makna kehidupan melalui gubahan haiku ini. Buah biwa yang bertangkai-tangkai dikiaskan
kepada perkembangan sebuah keluarga sebagai kesinambungan generasi masa depan
dan ini sebagai anugerah Ilahi yang
besar.
Kehadiran unsur-unsur alam yang
merata dalam haiku berfungsi sebagai pelengkap untuk menjadikan haiku yang
bermutu. Memerhati ciri-ciri yang wujud pada setiap unsur alam dalam penulisan
haiku amat penting bagi Leyla Shuri. Penggunaan diksi yang tepat di samping
memenuhi kriteria penulisan haiku yang betul, amat ditekankan oleh beliau.
Bukan itu sahaja, beliau amat tegas dalam teknik penulisan haiku yang asal, dan
itulah yang diamalkan semasa menulis haiku.
Haiku di atas ditulis dengan mengekalkan skema 5-7-5 dan mengandungi kata
musim (kigo). Haiku mampu ditulis
dalam bahasa Melayu dengan penuh berseni dan tetap menghantar makna yang
tersirat walau pun masih mengekalkan teknik asal haiku klasik Jepun. Apa yang
penting ialah minat tekal, ilmu dan usaha seorang penulis itu.
Sumbangan lain Leyla Shuri dalam memperkenalkan haiku dalam bahasa Melayu
ialah melalui terjemahan karya Basho. Karya (haiku) Basho dalam bahasa Melayu
sebelum ini tidak pernah diterbitkan dalam bentuk buku di Malaysia. Jika ada
pun hanya sebuah haiku tentang katak dan kolam yang selalu diungkapkan oleh
beberapa pihak.
Peminat haiku di Malaysia juga dapat baca sebuah buku terjemahan berjudul ‘Sukma Basho Dalam Haiku’ yang
diusahakan oleh Leyla Shuri dan Darma Mohammad. Buku terbitan Institut
Terjemahan dan Buku Malaysia ini berada di pasaran dalam tahun 2012. Ia
mengandungi sebanyak 400 buah haiku hasil karya Basho yang diterjemahkan ke
dalam bahasa Melayu dengan mengekalkan teknik asal penulisan haiku. Ini memberi
peluang kepada peminat haiku mengenal haiku yang ditulis oleh Tokoh haiku,
Matsuo Basho.
Tidaklah keterlaluan jika dikatakan Leyla Shuri turut memberi sumbangan
bererti terhadap penulisan haiku dalam bahasa Melayu di Malaysia. Beliau boleh
dianggap sebagai penggerak dari luar yang menyebar dan sekaligus menulis haiku
dalam bahasa Melayu.
Membuka Pintu Untuk Meneroka
Membuka pintu bukan sekadar untuk menatap langit jauh, tapi untuk mengatur
langkah dan memulakan gerak. Jika mahu menulis haiku dalam bahasa Melayu,
dicadangkan memahui peraturan menulisnya.
Dengan kesungguhan minat, ketajaman bakat, kekuatan bahasa, kedalaman
perasaan kemanusiaan dan kekuatan iman, maka haiku dalam bahasa Melayu mampu
berkembang di negara ini.
Haiku dalam bahasa Melayu yang ditulis oleh penulis Melayu di Malaysia,
tentunya membicarakan perihal tata kehidupan, kepercayaan, akidah dan aspirasi
bangsanya sendiri.
Di tangan penulis yang baik, haiku boleh menyemai benih kearifan tentang
keindahan alam dan makna ciptaan Ilahi serta nilai-nilai insani dan Kebesaran
Allah.
Ditulis oleh:
DARMA MOHAMMAD.
1 comment:
Halo.
Kami adalah Perusahaan Pemberi Pinjaman, kami menawarkan pinjaman ke seluruh dunia untuk mengeposkan Situs Detail Perusahaan kami untuk mereka yang mendapatkan pinjaman dari Perusahaan Kami.
KAMI MENAWARKAN pinjaman @ 2% suku bunga untuk PURPOSES bisnis dan pribadi.APPLY sekarang dengan:
Nama:
Jumlah yang dibutuhkan:
Lamanya:
Negara:
objektif:
Nomor ponsel:
kirimkan surat kepada kami di: christloanfunds@gmail.com
Post a Comment