Alhamdulillah.
Tahniah kepada sahabat Alif Zamri kerana menghasilkan kumpulan haiku 'Langit Biru' (Julai 2022). Alif dari Pulau Pinang sekian lama menekuni haiku, puisi klasik Jepun. Kami sama-sama belajar mendalami dan menulis haiku dalam bahasa Melayu dengan sensei Leyla Shuri dari Okinawa Jepun.
Alif setia dengan teknik penulisan haiku Jepun yang asal. Maksud saya, Alif mematuhi syarat utama penulisan haiku sebenar yang menggunakan 17 suku kata (5-7-5) dan setiap untai haiku mempunyai kata musim (kigo). Persoalan yang diangkat oleh Alif menyentuh hal-hal kehidupan sehari-hari beliau dan masyarakat Malaysia umumnya.
Dengan pengucapan yang padat (ringkas), Alif cuba menyampaikan kesan emosinya terhadap apa yang dilkihat dan dirasainya. Ini satu perkara yang bukan mudah. Ketajaman pemerhatian merupakan satu unsur penting harus ada pada seorang yang ingin menulis haiku yang baik.Syabas Alif Zamri kerana mampu menghidangkan haiku-haiku yang menarik dalam kumpulan ini.
Izinkan saya memetik Haiku 130 :
Awan bersisik
dilihat dari pantai
ikan raksasa.
Peminat haiku yang ingin menulis haiku, patut membaca buku ini. Di bahagian akhir buku ini, penulis meletakkan senarai lengkap kata musim (kigo) yang digunakan dalam haiku-haikunya. Ini sangat bermanfaat kepada pembaca yang ingin mengenali ciri-ciri haiku yang sebenar.
Kelahiran buku ini memeriahkan lagi dunia persuratan Melayu dan menjadikan dunia persuratan kita lebih berwarna warni. Insya-Allah, Alif terus menulis haiku dan/atau lain-lain genre kegemaran. Sekali melangkah, terus ke hadapan dengan karya yang tetap terjaga mutunya. Aamiin.
No comments:
Post a Comment