Thursday, August 24, 2006

NOSTALGIA : TERKENANG SEMASA DULU


Saya terkenang masa dahulu : Zaman awal tahun 70-an. Saya yang meminati dunia penulisan terkial-kial mencari arah, mencari pembimbing, mencari kursus. Hampir semuanya meleset. Saya tidak menyalahkan zaman, pun tidak menyalahkan sesiapa. Saya membaca akhbar, majalah dan buku-buku yang mampu saya dapat.

Dan sangat mujur bagi saya (atau penulis lain juga), lahir sebuah buku kritikan/panduan menulis yang dihasilkan oleh A.Samad Ismail berjudul MENGASAH BAKAT, diterbitkan oleh Pustaka Melayu Baru, Kuala Lumpur pada tahun 1966. Harganya pada masa itu $3.50. Buku ini saya khatam entah berapa puluh kali. Saya anggap buku ini sebagai mutiara kreatif bagi saya di samping beberapa buah lain yang jumlahnya sangat terhad.


Saya akan perturunkan apa yang telah saya garis bawah dengan pensel tatkala saya membacanya pada awal tahun 70-an dahulu.
Saya tidak membuat sebarang huraian atau tambahan. Cuma ejaannya saya tukar kepada sistem ejaan sekarang.


* "Idea" atau ilham untuk cerita yang asli dan original tidak sukar dicari kerana ilham ini penuh dalam hidup penulis sendiri.
* Sebagaimana rumah begitulah novel kita.
*Dr.Jekyll dan Mr.Hyde hidup hingga hari ini sekali pun ROBERT LOUISE STEVNSON telah mati.
* Dalam novel, khutbah itu tidak terasa kerana diseliputi oleh keindahan cerita, keharuan perasaan dan kejadian.
* Bahasa yang kaku tidak dapat menghidupkan satu-satu kejadian, menimbulkan kesan yang mengharukan kepada pembaca.
* Sebenarnya cerita itu berjalan atas dasar janji demi janji.
* Terlalu banyak "flash-back" juga membingungkan kerana pembaca mungkin diganggu terlalu sering daripada mengikuti jalan cerita yang penting.
* Banyak penulis mengganggap dialog sebagai satu kerja yang paling mudah. Kepada banyak penulis lain pula dialog paling sukar.
*Dialog bukan dialog kalau ia tidak mempunyai peranan dan tempatnya sendiri dalam cerita.
* Aliran kesedaran ini merupakan lintasan fikiran yang tidak keruan dan tidak menentu tetapi diberikan bentuk yang mengandungi erti dan maksud.
* Kelengahan untuk memulakan cerita selalunya membosankan pembaca.
*Satu kebiasaan lain yang saya anggap penting pada seorang penulis ialah mendidik dan melatih diri untuk menyemak dan mengulangkaji tulisannya.
* Apa yang original, apa yang baharu ialah cara penulisnya mengolah bahan yang lama.
* Jangan terpesona dengan ayat yang berbunga-bunga, berbelit-belit.

Itulah sebagahian petikan yang dikutip daripada buku yang setebal 202 halaman itu. Saya sangat sayang buku ini, kerana satunya ia sebuah buah langka dan keduanya kerana ia banyak memberi rangsangan dan panduan kepada saya untuk menjadi penulis prosa yang baik.
Terima Kasih Pak A.Samad Ismail.

[Terdapat enam buah buku kritikan sastera lain yang saya telaah (bacaan rapi) di samping Pak A.Samad Ismail itu. Di bawah ini adalah "teman-teman" saya yang dibawa bercakap di bawah pokok di depan rumah pada masa itu :

1. Kesusasteraan Indonesia Moden Dalam Kritik Dan Esei (1), H.B.Jassin, Penerbit Abas Bandung Melaka, 1967.
2. Kesusasteraan Indonesia Moden Dalam Kritik Dan Esei II, H.B.Jassin, Gunung Agung, 1967.
3. Kesusasteraan Indonesia Moden Dalam Kritik Dan Esei (III), H.B.Jassin, Gunung Agung, 1967.
4. Theory Of Literature, Rene Wellek and Austin Warren, Penguin Books, 1970.
5. Five Approaches of Literary Criticism, Wilbur Scott, Collier Books, 1962.
6. Aspect of The Novel, E.M.Foster, Penguin Books, 1970.

Buku-buku tersebut masih utuh dalam simpanan saya walaupun fizikalnya nampak sudah agak kumal dan malap.
Bila saya rindukan mereka saya ajak mereka berdialog dan saya terhibur dengan hadirnya mereka.
INILAH MERIAHNYA SEORANG PEMILIK BUKU.
"BUKU TAK PERNAH MATI SETELAH DIA DILAHIRKAN." (darma mohammad).


























14 comments:

Jiwa Rasa said...

Pak Darma,

Tiba-tiba sahaja saya rasa mahu menjenguk Bazar Chowrasta, Pulau Pinang.

Di situ sungguh banyak buku-buku lama dan langka.

Saya pernah jumpa buku Keluarga Gerilya di situ. Lebih dari satu naskhah.

ufukhati said...

En.Jiwa,

Satu hari nanti saya mesti "geledah" pasar buku pakai (istilah Indon. bagi second-hand book).
Bila ke P.Pinang selalu tak sempat ke Bazar Chowrasta di bahagian buku. Masa selalu suntuk dan Ratu Hatiku hanya "gaduh" membeli pala dan betik jeruk di bahagian bawah.
[Ada juga saya ke P.Pinang kerana seorang puteri membuat farmasi di USM.]

wan a. rafar said...

Sdr Darma,

Saya juga masih menyimpan buku Pak Samad dan buku-buku lain yang sdr sebut itu. Dan buku-buku itu juga banyak memberi manfaat kepada saya. Hanya sayang saya tidak menulis novel dan cerpen seperti sdr.

hakim dirani said...

Pak Darma,

Insya-Allah saya akan baca juga buku tu.

ufukhati said...

Sdr.Wan,

Memang Sdr.telah membaca buku-buku tersebut. Memang manfaatnya banyak kepada saya, Sdr. dan orang lain juga pada zaman itu.
Cuma mengenangkan, itulah yang kita kunyah. Kelebihan sekarang ialah kursus/pertemuan/bengkel/seminar lebih riuh dan meriah berbanding masa lalu.
Tapi buku-buku yang saya sebuit itu tahan diuji dan masih ada manfaat untuk pencinta sastera dunia.

Terima kasih Sdr.Wan.

------------------------------

Sdr.hakim dirani,

Saya tidak tahu, sama ada buku Pak A.Samad Ismail masih ada dijual sekarang. Buku-buku lain pasti ada diulang cetak.
Tak salah membaca fikiran orang lain dari timur atau barat; nantinya kita mencari arah kita sendiri dan menentukan identiti kita sendiri.
Selamat berkarya untuk Sdr.
Terima kasih.

Scarlet Kingsnake said...

saya kira saya agak bertuah kerana pernah berpeluang jadi anak murid kepada pak A. Samad Ismail sewaktu belajar di markas PENA sekitar 1996 dulu.

pak Samad yang saya kenal, sangat mudah melemparkan senyuman dan menyapa kami yang masih muda apabila berselisih. beliau sangat mudah didekati dan tidak lokek ilmu langsung; dan ini menyebabkan kelasnya sangat menarik dan sentiasa padat dengan perbincangan dua hala.

i really missed those days.

Nazhatulshima Nolan said...

Pak Darma,
Terima kasih kerana tidak lokek berkongsi ilmu. Semoga dirahmati Allah selalu. Bagaimana boleh dapatkan buku ini ya? Tiada edisi terkini ke?

ufukhati said...

sdr.scarlet,

Beruntung sdr. mendapat bimibgan terus daripada Pak Samad Ismail. Saya hanya membaca melalui buku dan esei-esei beliau.
Memang buku Mengasah Bakat memberi dorongan dan panduan kepada saya menulis prosa.
Saya anggap Pak Samad Ismail salah seorang pemikir Melayu yang tajam dan hebat.

Terima kasih sdr.

---------------------------------

Puan shima,

Saya tak tahu sama ada buku Mengasah Bakat itu masih dijual atau tidak. Penerbit asalnya yang di Jalan Melayu dan cawangannya di Jalan Masjid India sudah tidak ada lagi.
Shima boleh dapatkan berbagai buku lain. Tentu Shima pernah dengar juga Writer's Digest (bercetak)yang membimbing para penulis. Bagi saya majalah ini bagus untuk panduan dan motivasi penulis.Saya sekarang berlanggan WD terus dari US.

Terima kasih atas minat Shima itu.

sri said...

Salam Pak Darma; Tinggal di Pasir Mas pasti mudah mendapatkan Sinar Harian. Hantarlah tulisan, ramai yang mahu membacanya. Jika saya di Kelantan, boleh kita berjumpa? - Sri Diah.

ufukhati said...

Puan Sri Diah,

Memang senang dapat SH. Ada jual di kedai buku di sini dan di banyak kiosk akhbar di Pasir Mas.

Nampaknya sambut orang klate menggalakkan; maklum berita tentang mereka sendiri.

Terima kasih dan wassalam.

M Fitri M Shukri said...

As'kum Pak Darma,

Pertama sekali terima kasih saya ucapkan kerana mengunjungi blog saya.

Tak sangka di ruangan maya ini ada blogger yang berdedikasi dalam bidang kesusasteraan Melayu. Tahniah.

Di sini saya akui saya kurang pengetahuan berkenaan sastera Melayu. Malu juga nak katakan bahawa saya lebih banyak membaca buku-buku dalam bahasa Inggeris dari dalam Bahasa Melayu, walhal saya juga orang Melayu. Bagaimana Pak Darma boleh mula berminat dalam bidang ini? Apa yang membuatkan Pak Darma berkekalan minat dalam bidang ini?

Terima kasih. Harap dapat berhubungan lagi.

Fitri Shukri,
Buttrworth

sue said...

Pak Darma,
Apa tips untuk menulis karya yang bukan novel tetapi berbentuk kajian pada masa menarik dan tidak berbentuk 'data collection' semata-mata ?

Terima kasih

wan a. rafar said...

Sebuah lagi buku Pak Samad Ismail, ialah "Bimbingan Penulis". Buku ini mengandungi tips untuk menulis rencana bukan fiksyen.Di dalamnya dimuat contoh rencana asal dan yang sudah diperbaiki, serta ulasan sebelum disiarkan dalam akhbar. Buku ini diterbitkan oleh Penerbitan Federal pada tahun 1967.Saya tidak tahu apakah ada ulangan cetak atau tidak.

ufukhati said...

Sdr.m fitri,

Saya mula minat menulis setelah timbul minat membaca. Pokoknya rajin membaca kemudian rasa nak menulis.

Lalu cuba menulis dan sekarang pun saya masih dalam percubaan menulis.

Terima kasih m fitri.

---------------------------------

sue,

Saya pun tak arif dalam soal-soal tersebut, tapi banyak buku panduan menulis esei, rencana, dan berbagai jenis tulisan yang sdr.maksudkan itu.

Kalau rajin ke kedai buku, pasti mudah ditemui.

Terima kasih sue.

---------------------------------

sdr.Wan,

Sayang saya tak miliki buku "Bimbingan Penulis" yang sdr. katakan itu.

Rasa saya buku itu tak ada cetakan baru.Kalau ada memang bagus untuk dibaca.

Terima kasih sdr.