Monday, May 22, 2006

NOSTALGIA : Aphorism (2)

Pada tahun 1988 saya telah menggarap sebuah sajak bertajuk Aphorism. Pada tahun yang sama juga saya sambung lagi sajak itu dengan judul "Aphorism (2)". Sajak ini kemudiannya saya masukkan ke dalam antologi PUISI bersendirian saya JANJANG IKTIKAF yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 2003. Ia berbunyi :

APHORISM (2)

Keluhuran lebih liat
daripada keluli.

Kebenaran lebih ampuh
daripada pualam.

Pasir Mas, 1988. -DARMA MOHAMMAD

Sajak ini antara sajak yang sukar untuk saya lupakan. Tidak kurang daripada 10 draf telah dipinda. Pada mulanya terdapat 10 baris semuanya. Setelah disaring dan diayak; tinggallah 4 baris sahaja.
Saya tak menyesal atas pengguguran banyak kata dalam draf asalnya. Saya memohon maaf kepada sejumlah kata-kata berkenaan.Tinggallah 10 patah kata yang tak mampu saya gugurkan lagi.
Sejak sajak saya pertama kali tembus di media masa (Mingguan Malaysia) pada tahun 1971, penulisan bidang ini tidak mudah seperti yang disangka. Kini, (setelah ribuan sajak ditulis) menulis sajak bagi saya semakin sukar; kerana sudah begitu banyak kata saya gunakan, begitu banyak metafora yang saya teroka dan begitu banyak imajeri yang saya bangunkan. Sukar; kerana terpaksa mencari "jalan yang belum dilalui".
Menulis tetap menulis!

No comments: